Thursday, October 23, 2008

Coretan Pengalaman SMK Dato Haron






Persediaan Sebelum Mengajar




Pengalaman merasai suasana mengajar sebenar sudah lama diimpikan. Namun belum pernah mendapat peluang atau diberi peluang. Kursus Teknologi Pendidikan Islam yang ditawarkan pada semester ini membuka pintu kepada kami untuk merasai lebih dekat cabaran sebagai insan yang bergelar pendidik. Pensyarah kursus memberi ruang dan peluang kepada kami untuk berhadapan dengan kerusi, meja, papan tulis dan pelajar-pelajar sekolah. Suasana yang kami lalui dulu yang kini menjadi kenangan abadi dan disisip kemas menjadi satu memori yang tidak akan dilupakan.

Sebelum ke sekolah kami dibekalkan dengan ilmu-ilmu yang cukup berharga. Kami diajar dengan konsep teknologi dalam Pendidikan Islam. Bagaimana mencari bahan-bahan untuk dijadikan bahan pengajaran. Membina blog bagi merai tuntutan kemodenan zaman teknologi sekarang. Ustazah juga turut berkongsi pengalaman yang dilalui. Hari-hari beliau mengusung bahan-bahan pengajaran. Antaranya projektor dan komputer riba.Cuma sekarang mudah sedikit kerana pelajar turut membantu menguruskan bahan pengajarannya. Terutama dari segi tugas-tugas memasang komputer riba dan projector.




Pengalaman mengajar di SMK Dato Haron




Tanggal 19 September lalu, kami telah diarahkan untuk mengajar di Sek Men Keb Dato’ Harun. Kami diminta untuk mengaplikasikan teknologi dalam pengajaran. Kumpulan kami terdiri daripada tiga ahli kumpulan iaitu Mohd Shahidan Bin Ramli (Shah), Wan Mohd Ridhzuan Bin Wan Hussain (Wan) dan Mohd Firdaus Bin Mohd Yusoff (Fir). Kami diberi tugasan yang bertajuk “Adab Berjiran”. Kami dikehendaki menggunakan teknologi dalam menghasilkan bahan pengajaran kami.




Pada petang itu, selepas solat Jumaat kami bertiga bertolak ke Sek Men Keb Dato’ Harun dengan menaiki pacuan empat roda (4WD Wheel Drive) yang bernombor pendaftaran BGQ 3780. Perjalanan yang memakan masa 20 minit itu kami isi dengan strategi untuk menawan hati pelajar disamping bahan pengajaran yang menarik. Debaran dada makin kencang apabila melewati pintu pagar sekolah. Sapaan mesra pengawal sekolah sedikit sebanyak meredakan perasaan kami. Suasana pada ketika itu dihiasi titisan-titisan gerimis yang mula membasahi permukaan jalan.




Sebaik turun daripada kereta, kami mengamati keadaan persekitaran sekolah. Tiada kedengaran bunyi riuh rendah pelajar. Masing-masing mungkin letih berpuasa. Beberapa kelibat pelajar kelihatan di kantin. Sangka kami mungkin non muslim yang mahu mengisi perut mereka. Kami mula mengatur langkah ke pejabat untuk bertanyakan kedudukan kelas. Sebaik tiba di pejabat barulah kedengaran riuh rendah pelajar. Ramah mesra orang pejabat membuatkan hati lebih selesa. Kami perlu meraih seberapa banyak ketenangan bagi menghadapi kelas nanti. Pengalaman pertama mengajar semenjak tiga tahun di Universiti Malaya.




Kami terus menuju ke kelas yang ditunjukkan. Sebaik tiba di kelas kami bertemu dengan Ustazah Salina. Senyumannya yang manis menggambarkan kedatangan kami amat dialu-alukan. Ustazah Salina memberi kata dua kepada pelajar-pelajarnya supaya menunjukkan akhlak mulia. Menurutnya akhlak mulia bunga diri. Beri perhatian dan fokus kepada pelajaran. Selepas taklimat ringkas kepada pelajar, ustazah menyerahkan kelas kepada kami. Agak menyeramkan juga. Maklum la ‘first time’ hendak mengajar. Macam-macam gambaran yang menghiasi ruang pemikiran.




Sesi Pembelajaran




Sudah sampai masanya kami memulakan pengajaran. Seorang pelajar dipilih untuk membaca doa. Sesi pembelajaran dimulakan dengan tayangan slide oleh Fir. Kami memulakan sesi pembelajaran dengan tayangan kerana pada waktu begini pelajar-pelajar sudah mula bosan. Tambahan pula tinggal beberapa jam untuk berbuka. Tayangan berkisarkan seekor tupai yang tamak. Dia berusaha mengumpul seberapa banyak makanan untuk musim sejuk. Tanpa menghiraukan yang lain dia menyorokkan makanan di atas pokok. Sudahnya tempat simpanan itu pecah. Pelajar tertarik dengan tayangan yang dipersembahkan. Di samping itu telatah Fir yang sungguh melucukan.




Kemudian Wan pula mengambil alih kelas. Wan menyentuh tentang adab-adab berjiran. Berkisar akhlak seorang muslim terhadap jiran mereka. Sebaik memulakan sesi pengajarannya suasana menjadi gamat dengan lagak spontan yang dibuat. Wan cuba mengajak pelajar berkomunikasi dengannya. Caranya berhasil menarik minat pelajar.




Slot akhir diambil alih oleh Shah. Bertambah gamatlah kelas. Shah lebih suka kepada cara perbualan. Pelajar seakan sudah tidak dapat menerima pelajaran. Pada ketika ini pelajar lebih suka diajak berbual. Ini kerana sudah ada pelajar nakal yang mula buat lawak kurang bijak. Situasi yang sudah dilalui oleh kami. Perangai yang lebih kurang serupa. Perbualan tidaklah keluar tajuk. Masih berkisar tentang adab berjiran.




Pengajaran kami pada hari itu berjaya. Syukur kepada Allah segala-galanya berjalan lancar.

No comments: