Friday, January 16, 2009

Haji Shahar Sulaiman

Berdakwah Menggunakan Seni Syair

TOKOH yang dibicarakan kali ini masih lagi berkaitan ulama Selangor, yang dipetik daripada Seminar Tokoh Ulama Selangor 2008 yang diadakan pada 22 November 2008 lalu di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Tokoh ulama ini adalah hasil kajian dan penulisan anak-anak beliau sendiri, iaitu Ustaz Ahmad Fauzi dan Ustaz Abd. Muhaimin dengan kerjasama para pensyarah KUIS, iaitu Ustaz Isma Addi Jumbri, Ustaz Kheril Anuar Darus, dan Ustaz Syarul Azman Shahrudin, dengan diberi judul 'Allahyarham Tuan Haji Mohammad Shahar Sulaiman: Ulama dan Tokoh Maal Hijrah 1413 Hijrah'. Hampir keseluruhan data maklumat berkaitan ulama tersebut akan dibicarakan dalam ruangan ini.

Ulama yang terkenal dengan kegigihan dan semangat dalam menyebarkan dakwah ini dilahirkan pada 20 jun 1930 di Kuarters Kastam Pelabuhan Klang. Pada masa tersebut, bapa beliau iaitu Sulaiman Bin Habib masih berkhidmat sebagai Pegawai Kastam di Jabatan Laut, Pelabuhan Klang.

Beliau merupakan anak keenam daripada tujuh adik-beradik. Pemergian bapa beliau di kala usia enam tahun menjadikan beliau matang dalam mengharungi kehidupan.

Pendidikan

Haji Mohamad Shahar Sulaiman menuntut ilmu dengan beberapa tokoh ulama yang terkenal di Selangor, antaranya Sheikh Mahmud al-Bukhari yang merupakan tokoh yang banyak melahirkan ulama-ulama di Selangor. Masjid Kampung Kuantan, Klang adalah tempat bersejarah bagi beliau dalam menuntut ilmu, berguru, menghafal al-Quran dan berkhidmat dengan Sheikh Mahmud al-Bukhari tersebut.

Beliau yang terkenal dengan kesungguhan dalam menuntut ilmu ini juga pernah berguru dengan Mufti Selangor yang pertama, Sahib al-Samahah Haji Yusof Shahabudin yang merupakan seorang guru alim yang terkenal di Kampung Jawa, Klang pada masa itu.

Dipercayai beliau banyak mempelajari ilmu tauhid dan tasauf melalui beliau, sehinggakan mampu menguasai dan menamatkan pengajian kitab-kitab dan menghafal pelbagai matan-matan ilmu.

Disebabkan kecintaan yang mendalam untuk menuntut ilmu, beliau masih meneruskan pengajian walaupun setelah menjadi guru agama. Beliau berguru pula dengan Tuan Guru Haji Mohammad Amin yang pernah menuntut di Mekah lebih kurang 12 tahun.

Ulama tersebut juga adalah teman belajar kepada Mufti Selangor yang pertama, yang juga adalah guru beliau. Beliau menuntut ilmu kepada Tuan Guru Haji Mohammad Amin tersebut pada setiap Sabtu dan Ahad di Jeram. Melalui ulama tersebut, beliau banyak mendalami ilmu faraid dan fiqh.

Antara kitab-kitab yang pernah dipelajari beliau ialah; Minhaj al-'Abidin, Pendahuluan Ilmu Faraidh, Fath al-Majid, Hidayah al-Salikin, Matla' al-Badrain, Tafsir ar-Rawi, Tafsir Nur al-Ihsan, Risalah al-Tauhid, Hadith 40, Hayat al-Islam, Amthilah al-Jadidah, Nahwu al-Wadhih dan banyak lagi.

Selain banyak menuntut dalam ilmu-ilmu agama, Haji Mohammad Shahar juga pernah belajar di Sekolah Inggeris di Klang yang kini dikenali sebagai High School Klang. Beliau menuntut di sekolah tersebut sehingga kemasukan Jepun di Tanah Melayu.

Bahkan pengalaman ketika menyanyikan lagu Jepun setiap kali hari persekolahan terutama ketika matahari sedang naik pernah diceritakan kepada anak-anak beliau.

Namun setelah Jepun meninggalkan Tanah Melayu dan ditambah desakan hidup, beliau tidak lagi melanjutkan pelajaran secara rasmi. Menyedari tanggungjawab itu, lantas beliau mengambil keputusan untuk bekerja sebagai pembantu perubatan dan pernah berkhidmat bersama tiga orang doktor berbangsa Inggeris.

Sungguhpun begitu, kesungguhan beliau untuk menuntut ilmu tidak dilupakan walaupun sudah bekerja. Pada sebelah malam pula, beliau meneruskan pengajian al-Quran bersama Sheikh Mahmud al-Bukhari sehingga berjaya menghafaz keseluruhan al-Quran.

Keturunan

Pada 12 Syawal 1377 Hijrah bersamaan 1 Mei 1958, Tuan Haji Mohammad Shahar dinikahkan dengan anak sulung guru beliau sendiri iaitu Tuan Guru Haji Mohammad Amin. Hal tersebut adalah hadiah bermakna hasil ketekunan beliau dalam menuntut ilmu dan kepercayaan Tuan Guru Haji Mohammad Amin terhadap beliau.

Pernikahan beliau dengan pasangannya Hajah Khadijah merupakan detik bersejarah yang mana Tuan Guru Haji Mohammad Amin mewakilkan wali untuk upacara akad nikah kepada Tuan Guru Haji Yusuf bin Shahabudin, yang juga adalah guru Haji Mohammad Shahar sendiri.

Hasil dari perkahwinan tersebut, beliau dikurniakan sepuluh orang anak, iaitu:

lAhmad Fauzi - Lulusan B.A Madinah al-Munawwarah, Arab Saudi dan kini berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

lMohd Ghazali - bekerja sendiri

lAbdul Muhaimin - Lulusan B.A dan M.A Nadwatul Ulama di Lucknow, India dan kini bertugas di Bahtera Consultant Sdn. Bhd.

lAsiah - Lulusan ijazah UKM dan bekerja di Sekolah Hira’, Jeram.

lNapisah - suri rumah.

lAzizah - Lulusan ijazah Universiti Malaya, dan kini bekerja di Sek. Menengah Kebangsaan Sekinchan.

lAbdul Aziz - Lulusan B.A Syariah al-Azhar, Mesir dan pengasas Ma’had Sabil al-Rasyad Li Tahfiz al-Quran.

lMohd Zubir - Lulusan ijazah Jami’atul Iman, Yaman dan bekerja di Sek. Adni Internasional, Gombak.

l Mohd Nor - Lulusan B.A Usuluddin, Mesir dan bertugas sebagai penyelaras Masjid JAIS.

l Abdul Hafiz - Lulusan B.A Syariah al-Azhar, Mesir dan bekerja di Sek. Rendah Kebangsaan Lubuk Kelubi, Selangor.

Tokoh Maal Hijrah

Pada awal tahun 90-an iaitu bersamaan 1413 Hijrah, beliau dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri Selangor. Anugerah tersebut dikurniakan atas hasil usaha dakwah beliau dalam menggalakkan pihak masjid dan masyarakat mengadakan program Qiamulail dan kuliah Subuh di masjid khususnya pada cuti hujung minggu.

Pendekatan dalam berdakwah

Haji Mohammad Shahar menggunakan pendekatan yang unik dan menyentuh perasaan dalam menyampaikan dakwah dan memberikan peringatan kepada masyarakat. Beliau akan membaca al-Quran dengan nada dan lagu yang amat sayu, juga dengan terjemahan ayat al-Quran diikuti dengan alunan syair kesedaran yang mengingatkan tentang kematian.

Bahan-bahan yang biasa disampaikan dalam ceramah dan doa-doa yang diperturunkan kepada murid-muridnya kemudian ditulis semula dengan tulisan tangan oleh Ustaz Rahmat bin Haji Syafie dan dihimpunkan dalam satu risalah yang dinamakan sebagai Da'watul 'Ibad. Risalah tersebut telah diulang cetak beberapa kali, walaupun setelah kembalinya beliau ke rahmatullah, dan permintaan terhadap risalah tersebut berterusan khususnya kepada mereka yang pernah berguru dengan beliau.

Dakwah boleh diumpamakan sebagai darah daging beliau. Di mana sahaja dalam apa jua keadaan dan peluang, beliau akan terus berdakwah dengan mengajak melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Beliau sentiasa dikenali sebagai seorang insan yang bersemangat dalam menyampaikan dakwahnya walaupun hanya berhadapan dengan seorang pendengar. Bahkan salah seorang anak beliau pernah berkata: "Ketika ayah berbual dengannya, nada ayah seperti sedang berceramah seolah-olah berada di depan khalayak ramai".

Setelah menjelajah seluruh tanah air dan berdakwah di peringkat negeri dan kebangsaan, timbul keinginan beliau untuk berdakwah di peringkat antarabangsa. Beliau menggunakan waktu persaraannya untuk berdakwah sepenuhnya. Kebiasaannya, beliau akan memperuntukkan 40 hari dalam setiap tahun untuk bersama-sama jemaah tabligh di samping menyampaikan ceramah berdasarkan jemputan seperti biasa walaupun berkerusi roda sehinggalah akhir hayatnya. Antara negara yang pernah beliau kunjungi untuk berdakwah adalah Bangladesh, Indonesia, Yemen, Australia dan China.

Kembali ke rahmatullah

Pada hari Khamis, 28 April 2005, kira-kira pukul 1.45 tengah hari, beliau kembali ke rahmatullah selepas mandi dan berwuduk untuk menunaikan solat Zuhur. Beliau dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Tambak Jawa di hadapan mihrab masjid.

Berita pemergian beliau tersebar dengan meluas, termasuklah disiarkan di Radio IKIM. Pada malamnya juga hampir seluruh masjid mengadakan tahlil dan doa agar rohnya mendapat keampunan dan dicucuri rahmat oleh-Nya.


sumber: utusan malaysia online 12/01/2009

No comments: